Sunday, 3 September 2006

Ah, bosan aku dengan penat

Dalam masa kita melepasi hari-hari yang tidak pernah berhenti walau sesaat, aku seperti terpegun melihat kebanyakan anak-anak muda zaman sekarang yang tidak pandai membawa diri.

Masing-masing mengaku bahawa mereka adalah dari generasi moden dan semua adat sopan dan tatasusila adalah kolot dan ketinggalan zaman. Mereka lebih cepat melatah, tidak berfikiran panjang dan lebih kebaratan daripada orang barat sendiri.

Pada aku mereka semua tidak tahu menilai erti kebudayaan timur. Aku tahu walaupun aku ni tidak arif dan tidak mempraktikkan sangat nilai-nilai ketimuran, tapi aku masih sedar dari mana datangnya akar umbiku. Walaupun aku tinggal di negara yang kurang mengambil berat tentang adat, aku tidak mudah lupa sama sekali.

Aku masih lagi cuba menjaga hati dan menghormati orang. Takkan sekalipun aku kasari dengan bahasa kasar atau tindak tanduk yang boleh mengguris perasaan seseorang. Aku bukanlah seorang manusia yang sempurna tetapi aku tetap mahu mencuba.

Pada aku, sekiranya seseorang itu telah cuba memberitahu yang dia tidak mahu and tidak rela meminjamkan sesuatu kepada seseorang yang lain, maka orang itu tidak berhak mempertikaikan keputusan dia. Jangan pula di belakang nanti, diheboh-hebohkan cerita yang kurang enak didengar. It yang aku betul-betul tidak gemar tetapi itulah yang selalu terjadi.

Kita sebagai manusia, mesti juga harus cepat berfikir dan jangan mengharap bulan itu akan jatuh ke riba. Kalau boleh taik bintang pun jangan diharapkan sangat. Dalam hidup ini kita mesti berani. Kerana jika kita takut, bermakna kita tidak akan dapat meneruskan perjalanan kita dan kita akan terus hidup dalam keadaan yang sentiasa gusar. Apakah itu yang kita mahu?

Aku perhatikan dari sini seorang anak gadis yang dihantar mamanya untuk mendalami ilmu dunia, namun dia resah dan enggan membaiki hidupnya sendiri sebaliknya dia lebih suka berseronokan. Bila ditanya kenapa ilmu pengetahuan ditolak ke tepi katanya dia rindu mama dan kawan-kawan di sana. Dia telah gagal sebelum dia bermula. Sayang sekali, mama itu turuti sahaja kehendak dia. Mahu wang, nah sudah kumasukkan ke dalam akaunmu! Mahu kereta, nah sudah kubelikan Honda City yang baru lagi berkilat. Di mana salah mereka? Salahkah cara mereka menunjukkan kasih sayang?

Ah, bosan aku mendengar cerita yang sama. Anak itu salahkan ibunya. Aku pasti si ibu itu ada perasaan marah pada anaknya. Aku terasa semacam mahu ku pecahkan kepala anak gadis itu. Bangun dari tidurmu! Kau bukan lagi anak kecil. Sudah 24 tahun! Sudah bisa punya wang sendiri. Setidak-tidaknya kau sudah selesai dengan ilmu dunia yang pertama.

Anak yang manis, hidup ini masih panjang. Jangan terlalu mengharapkan pada orang tuanya. Mereka juga perlukan masa untuk kehidupan mereka sendiri setelah penat mereka besarkan kamu. Biarlah mereka merasa nikmat hidup and berbakti dengan cara yang lain pula sebelum mereka pergi. Di kala itu, di bahu siapa kamu mahu menangis?

Mungkin kamu semua merasakan bahawa aku tidak adil dalam membicarakan isu ini kerana aku sudah tidak punya orang tua. Mungkin benar juga fikiran kamu itu. Tetapi aku mahu kamu semua melihat isu ini dari pandangan aku pula. Dengan tiadanya bimbingan dari orang tuaku, aku seharusnya lebih hanyut dari jalan-jalan yang benar. Aku sepatutnya lebih rosak dan tidak menghiraukan adab dan budayaku. Siapa yang ada untuk menegurku ketika aku melalui saat kegelapan? Siapa yang peduli?

Tiada siapa yang menarik ku ke atas semula. Aku bangkit sendiri. Walaupun aku tidak dicurahkan dengan kekayaan harta benda tetapi aku masih terasa kasih yang ibu taburi. Aku masih teringat-ingat pesanan ibu supaya sentiasa berbudi. Sesungguhnya aku bersyukur walaupun aku tidak sebaik yang disangka, tetapi aku masih ingat bahawa aku ini anak ibuku yang sedang menanti ku di pintu syurga.


ps: Telah terlalu lama saya mengabaikan bahasa ibunda saya, jadi hari ini saya ingin mencuba. Kekok rasanya dan mungkin tidak sedap dibaca tetapi ini sahaja yang saya mampu ikhtiarkan.

No comments: